»

Monday, July 24, 2006

Kematian manusia dengan pelbagai cara

Penulis: YB. Datuk Dr. Amran Kasimin
Penerbitan asal: Mingguan Malaysia online - 9 Januari 2005

Imam Sayuti menjelaskan dalam kitab Syarhi `s-Sudur, bahawa ketika ditanyakan kepada Musa tentang bagaimana ia berhadapan dengan kematian, Musa berkata: Mati itu bagaikan tusukan yang dimasukkan ke dalam perut yang memiliki banyak cabang, setiap cabang berhubung dengan urat-uratku. Kemudian ia dicabut dari perutku dengan kuat.
Si mati merasakan perutnya seakan-akan penuh dengan duri, seolah-olah nyawanya keluar dari lubang jarum. Langit seakan-akan runtuh ke bumi, sementara ia terhimpit antara keduanya. Kaab pula ketika ditanya tentang kematian ia menjawab: Kematian itu bagaikan ranting berduri yang dimasukkan ke dalam perut seseorang. Kemudian ditarik keluar oleh seorang yang sangat kuat. Maka terputuslah yang putus dan tertinggallah yang tinggal.
Sesungguhnya Umar bertanya kepada Kaab: Ceritakan kepadaku tentang kematian. Kaab berkata: Wahai Amirul Mukminin, kematian itu laksana pohon yang banyak durinya dalam perut anak Adam. Tidak ada satu pun urat dan sendi melainkan di dalamnya terasa penuh dengan duri. Sementara orang yang bertangan panjang dan kuat menarik pohon berduri itu dengan paksa dan kuat. Pada saat seseorang itu dalam keadaan sakaratul- maut, tidak kira sama ada mati mengejut atau mati biasa, sekujur tubuhnya bercucuran keringat. Kedua-dua matanya menjuling, hujung hidungnya mengembang, tulang-tulang rusuknya terangkat. Nafasnya menjadi sengal-sengal dan warna kulitnya menjadi pucat.

Aisyah ketika memerhatikan baginda dalam keadaan sakaratulmaut, yang terbaring di pangkuannya, mengusap air mata beliau yang berlinang. Ketika nafas seseorang itu sampai ke kalbunya, maka lisannya menjadi kelu dan bisu. Tidak seorang pun yang berupaya berbicara, manakala nafasnya terasa tersumbat di dalam dada. Hal demikian terjadi kerana tekanan kematian yang sangat berat menjadikannya sempit, lantaran sesakan nafas dalam dada. Setiap orang yang terkena tusukan masih mampu bersuara kecuali apabila tusukan itu menjunam di bahagian dada. Ketika itu ia jatuh terkapar dan menghembuskan nafas terakhir tanpa sempat mengaduh kesakitan, ataupun kerana faktor yang sangat rahsia sifatnya, yang menyebabkan lahirnya getaran secara automatik, akibat gerakan gitar suara yang tersengal-sengal.

Pada saat ini suhu badan menjadi lenyap kerana dahsyatnya tekanan kematian sehingga jiwa pun akan berubah, menjadikan suhu badan melonjak naik menjadi panas, atau sebaliknya, iaitu menjadi dingin kerana suhu badannya hilang. Di antara mayat ada yang dicabut nyawanya sedikit demi sedikit, tahap demi tahap, hingga tertahan di tengkorok. Setelah nyawa lepas dari tengkorok, masih tetap ada sambungan dengan jantung. Pada saat itu, ia direntap dari jantung. Rahsia rentapan ini menenggelamkan nyawa dalam lautan kematian. Sebahagian ahli ilmu kalam menjelaskan, sesungguhnya hidup bukan terdiri daripada jiwa sahaja, tetapi kehidupan itu adalah cantuman antara jiwa (roh) dengan raga (tubuh). Ketika jiwa sampai pada puncak tekanan kematian (sakaratulmaut), ia akan menghadapi pelbagai tentangan dan fitnah. Iblis syaitan mengirim bala tentera khusus untuk memesongkan iktikad manusia yang berada dalam keadaan sakaratulmaut.

Makhluk ini akan mengubah nature kewujudan mereka, menyerupai rupa manusia yang sangat dipercayai dan dicintai oleh orang yang sedang bergelut dengan mati, yang semasa hidup di dunia mereka pernah memberi nasihat dan rapat kepadanya, seperti ayah, ibu, saudara, guru-guru, teman-teman dan sebagainya. Ia datang dengan berkata: Saat ini anda berada dalam keadaan sakaratulmaut, sedangkan kami telah mati mendahului kamu. Dalam keadaan ini, matilah anda dalam keadaan Yahudi kerana ia adalah sebaik-baik agama di sisi Allah. Sekiranya mereka tidak berupaya menyahudikan orang tadi, makhluk tersebut akan pergi. Lalu datang sekelompok iblis lain berusaha menipu dan menggoda agar orang yang berkenaan mengaku untuk mati dalam keadaan Nasrani, kerana Nasrani adalah agama Al-Masih yang menggantikan agama Nabi Musa.
Begitulah seterusnya yang dilakukan oleh iblis dan syaitan. Dalam keadaan ini, tidak berupaya seseorang itu kecuali mereka yang kuat rohnya dan mendapat perlindungan Allah. Allah menggelincirkan mereka yang dikehendaki oleh-Nya, juga menyelamatkan mereka yang dikehendaki oleh-Nya, seperti yang tersebut dalam surah Ali-Imran: 8 yang bermaksud: Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi kurnia. Andainya Allah menghendaki hamba-Nya tetap mendapat hidayah dan kukuh iman, maka akan datang satu rahmat dari sisi-Nya. Dalam hal ini, ada pendapat yang menyatakan bahawa rahmat itu adalah Malaikat Jibril yang datang mengusir syaitan dan mengusap wajah si mati yang pucat, sehingga dapat dipastikan si mayat seumpama tersenyum dan wajahnya menjadi berseri-seri.

Khabar gembira
Dalam keadaan seperti ini, banyak orang yang kelihatan tersenyum kerana berasa senang dan gembira atas kedatangan malaikat yang membawa khabar gembira sebagai rahmat dari Allah.
Tidak ada sesuatu pun yang lebih menyenangkan dan membahagiakan manusia, selain daripada kedatangan malaikat yang membawa rahmat. Inilah yang dimaksudkan dari firman Allah (Ali-Imran: : Dan kurniakan kepada kami rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Kurnia.
Mati itu sesungguhnya sesuai dengan fitrahnya, sehinggakan ada antara manusia yang mati ketika sedang melakukan sembahyang, sedang tidur, ketika sibuk melakukan kerja, mati mengejut, mati sedang menikmati hiburan dan sebagainya di mana nyawanya dicabut dengan mendadak. Di antara manusia, ketika rohnya sampai ke kerongkong, terbuka bagainya hijab sehingga ia mendapat melihat ahli keluarga, tetangga dan sahabat taulan yang telah meninggal dunia. Pada saat ini, akan muncul suara yang biasa didengar oleh semua makhluk kecuali oleh manusia dan andainya manusia biasa berupaya mendengarnya, tentu ia jatuh pengsan. Indera manusia pada detik-detik akhir kematiannya yang terakhir sekali berfungsi ialah indera pendengaran. Apabila roh telah berpisah meninggalkan jantung, maka indera penglihatan menjadi tidak berfungsi lagi, sementara itu pendengaran akan tetap berfungsi, sehinggalah nafas meninggalkan jasad. Kerana itulah maka Rasulullah menyuruh agar orang yang hampir mati diajar bersyahadah, sebagaimana sabdanya: Bimbinglah orang yang akan mati di antara kamu dengan syahadah, bahawa tidak ada Tuhan yang hendak disembah kecuali Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah utusan Allah.

Berdasarkan keterangan yang dijelaskan di atas ternyata bahawa kematian itu sesuatu yang menyakitkan. Walaupun demikian, perlu dijelaskan bahawa penderitaan itu adalah sesuatu yang relatif. Bagi orang yang beriman, apabila tiba waktu matinya, maka dia akan didatangi oleh malaikat pencabut nyawa diiringi dua malaikat yang berwajah rupawan, berpakaian indah dan rapi, aroma baunya semerbak mewangi. Ketika roh keluar dan terlepas dari jasad, mereka menerima dan membungkus roh tersebut dalam lipatan kain sutera yang dibawa dari syurga. Mengenai kualiti keelokan dan kecantikannya, ia bersesuaian dengan kualiti iman dan amalan seseorang dalam agama, bukan bergantung kepada intelektual dan profesionalisme atau kekayaan ketika hidup di dunia. Dijelaskan, bahawa orang yang beriman apabila melihat wajah malaikatulmaut, penglihatan tersebut sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu reda untuk dicabut nyawanya.

Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut nyawa seseorang itu sehinggalah orang yang beriman itu melihat tempatnya yang kekal di syurga dan orang yang tidak beriman itu melihat tempatnya di neraka. Keadaan sedemikian rupa sudah lebih daripada cukup menjadikan orang yang beriman itu begitu ghairah untuk ke syurga. Dan dia hakikatnya tidak boleh menikmati keindahan syurga, kecuali dengan mati terlebih dahulu. Kerana itu ia berasa reda untuk mati, demi menikmati keindahan syurga. Mati bererti menemui Allah. Orang yang terlalu inginkan mati ialah orang yang terlalu ingin bertemu dengan Allah. Apabila seseorang itu reda menemui Allah, maka Allah akan lebih reda untuk menemuinya.
Mingguan Malaysia 9/1/05

0 comments: